Ahad, 26 Jun 2011

Hijab Sang Pecinta

Cerita yang mantap selalunya mengandungi peperangan/konflik di antara kebaikan dan kejahatan. Intipati ini sering menjadi esen kisah-kisah popular sepanjang zaman seperti meletupnya cerita Harry Porter karya J.K. Rowling. Walau kisah Harry Porter berkisar di alam ahli sihir yang satu ketika dulu pernah mencetus kontroversi di kalangan umat Islam tetapi saya lebih melihat keunikan cerita ini daripada perspektif yang lebih terbuka - kebaikan selalunya mengatasi kejahatan. Intipati ini juga diadun dengan kukuh dalam Hijab Sang Pencinta - trilogi pelengkap kepada kisah epik thriller Bagaikan Puteri.
Genre epik thriller ini berjaya dihidupkan dengan baik dalam kisah Hijab Sang Pencinta. Genre ini jarang-jarang dipelopori oleh penulis-penulis tanahair tetapi sejak akhir-akhir ini PTS juga mengorak langkah cergas menerbitkan kisah-kisah epik thriller yang ditujukan khas untuk remaja lelaki.

 




Gabungan elemen cinta dalam Hijab Sang Pencinta walau tidak diterokai secara mendalam tetapi masih mampu memaniskan kisah Hijab Sang Pencinta. Watak Saifudin sebagai seorang ahli sufi kelihatan begitu realistik sekali dengan kelebihan yang dikurniakan kepadanya oleh Tuhan Maha Pencipta.
Banyak ilmu-ilmu berguna yang diturunkan oleh RAM dalam kisah ini yang wajar dijadikan pedoman. Kali ini, gabungan fakta dan fiksyen lebih "lembut" jika dibandingkan dengan karya-karya RAM terdahulu lalu saya tidak merasakan saya membaca artikel dokumentari.

Hijab Sang Pencinta mempunyai auranya tersendiri dan sebenarnya trilogi Bagaikan Puteri ini sesuai untuk dizahirkan dalam medium tv.
Bagi peminat RAM, karya ini adalah karya yang harus menjadi koleksi peribadi. Selepas membaca karya ini, fikiran saya masih lagi berputar memikirkan mesej yang cuba diserap dalam trilogi Bagaikan Puteri. Memang plot ceritanya menguja saya untuk terus mengikuti kisah ini tetapi jiwa cerita ini lebih kuat sebenarnya dalam Cinta Sang Ratu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan