Jumaat, 10 Jun 2011

Percutian.....

Keindahan alam semula jadi dengan iklim sejuk dan nyaman menjadikan Cameron Highlands
antara pusat peranginan yang terkenal di Malaysia. Ia terletak di negeri Pahang,di tengah-tengah Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian 1,829 meter dari aras laut.

Tarikan utama kalau ke Cameron Highlands sudah tentulah Ladang teh. Terdapat dua ladang
teh yang menarik untuk dikunjungi iaitu Ladang Teh Boh di Sungei Palas dan Ladang teh Bharat.
Sebagai peminat teh, inilah masanya anda melihat sendiri pokok teh dan menikmati secawan teh
segar di hentian teh bharat sambil melihat keindahan panorama ladang teh yang terbentang luas
dan cukup menakjubkan.Ladang teh Bharat terletak tidak jauh dari Brinchang sekiranya melalui jalan dari Simpang Pulai.

Ladang Strawberi juga satu lagi daya tarikan pengunjung ke Cameron Highlands. Kalau dulu
penanaman strawberi hanya boleh kita lihat di Eropah tetapi sekarang tidak perlu ke negara luar
untuk melihat pokok strawberi kerana di Cameron Highlands ,terdapat banyak ladang strawberi
termasuklah di Tanah rata dan juga Brinchang. Antara ladang-ladang yang boleh anda kunjungi ialah
Kasimani’s Strawberry farm, KHM Strawberry, EQ Strawberry farm, Health Strawberry farm,
Raju’s Hill Strawberry farm dan juga Big Red Strawberry Farm. Ada beberapa buah pemilik ladang
yang membenarkan anda memetik sendiri buah strawberi dengan kadar bayaran tertentu. Pengalaman ini tentunya sangat berharga buat anda yang pertama kali datang ke sini.

Antara tarikan lain, anda boleh melawat ladang sayur-sayuran yang begitu banyak di tanam disini
dan ladang bunga Ros.Terdapat beberapa buah tapak semaian bunga di sepanjang jalan utama dari Ringlet hingga ke Kampung Raja yang dibuka kepada orang ramai. Disamping merakamkan kenangan di ladang bunga-bungaan ini anda juga boleh membeli bunga ros, kekwa, dan lili dengan harga yang istimewa.

Pendek kata, pengalaman bercuti di Cameron Highlands sememangnya menyeronokkan apatah
lagi jika anda sukakan alam semula jadi dan teringin merasai kedinginan pada suhu
antara 18 darjah celcius hingga 22 darjah celcius.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan